Gamuda AI Academy perkasa bakat golongan muda Sabah
Inisiatif bersama Google, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Kota Kinabalu: Sabah kini mempunyai Gamuda AI Academy yang pertama di Malaysia Timur dan yang kedua dalam negara ini.
Kampusnya yang bertempat di Perpustakaan Negeri Sabah, kini Gamuda AI Academy cawangan Sabah mempunyai seramai 30 pelatih dalam kumpulan pertamanya.
Sebelum ini, pelancaran akademi pertamanya adalah di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas.
Pelancaran Gamuda AI Academy cawangan Sabah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.
Turut hadir Ketua Pegawai Digital Kumpulan Gamuda Berhad, John Lim Ji Xiong dan Ketua Usaha Strategik Google Cloud, Sektor Awam, Asia Tenggara, Raja Azmi.
Shahelmey berkata, usaha itu merupakan inisiatif baik daripada Gamuda bersama Google dengan kerjasama melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

“Gamuda AI Academy boleh melahirkan bakat-bakat muda anak Sabah melalui bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin menjadi permintaan di dunia era digital pada hari ini.
“Saya berharap dengan adanya kumpulan pertama seramai 30 pelatih ini, mereka akan melalui latihan selama tiga bulan, sekali gus memberikan hasil dalam peranan kita dalam pengusahaan ataupun aplikasi teknologi dan juga digital melalui AI,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan majlis berkenaan, semalam.
Beliau juga berharap program berkenaan dapat terus dijayakan sekali gus melahirkan lebih ramai bakat muda Sabah melalui latihan yang diberikan.
“Kita sedar bahawa aplikasi AI merupakan satu teknologi yang sangat diperlukan dalam era digital sekarang.
“Kita berharap dengan kejayaan kumpulan pertama ini nanti, mereka akan memberikan testimoni mereka kepada rakan-rakan yang baharu.
“Kita juga berharap kumpulan kedua dan seterusnya akan dapat diteruskan dan dilahirkan di masa hadapan,” katanya.
Semasa dalam ucapannya, Shahelmey menyeru agar golongan muda untuk terus melengkapkan diri dengan kemahiran baharu yang berupaya dari segi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kerana ia menjadi keutamaan kerajaan negeri berikutan cabaran baharu yang semakin ketara di peringkat global.
Selain itu katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah dana bagi melaksanakan program-program yang bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap subjek STEM dan TVET.
“Diharapkan melalui pelbagai peluang dan pendedahan yang diberikan, minat pelajar dalam bidang STEM dan TVET akan terus meningkat.
“Ini seterusnya akan membuka peluang kepada golongan belia untuk menjadi profesional, usahawan dan inovator pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, program yang ditawarkan Gamuda AI Academy sangat penting dan tepat pada masanya.
“Kami berharap graduan daripada akademi ini akan menerajui transformasi AI di Sabah, sama ada dalam sektor awam, dalam kalangan belia, untuk perniagaan pelbagai saiz mahupun komuniti syarikat yang mula berniaga.

“Akademi ini mempunyai rekod cemerlang dengan pencapaiannya sudah terbukti apabila berjaya melahirkan tiga kohort sejak dilancarkan di Kuala Lumpur pada tahun lepas.
“Dengan lebih 100 graduan yang telah meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang AI penuh. Saya amat menantikan kejayaan ini dapat diteruskan di sini, dengan tumpuan kepada peningkatan kemahiran tenaga kerja serta merapatkan jurang literasi digital dalam kalangan belia di Sabah,” katanya.
Sementara itu, John ketika ditemui berkata, antara kursus yang diberikan adalah cara menggunakan Gemini untuk mengkod dan juga untuk mengintegrasi Gemini ke dalam aplikasi mereka dan menggunakan platform Google Cloud. Para pelatih akan mempelajari cara-cara membangunkan aplikasi.
“Jadi, ini adalah kursus yang sangat intensif. Pada akhir latihan ini, akademi ini akan melahirkan mereka yang tidak pernah atau tidak pandai berkenaan dengan cara mengkod atau membangunkan sebarang aplikasi kepada seorang yang berkebolehan dan bersiap ditempatkan pasaran pekerjaan teknologi,” katanya.
Semasa berucap, John menjelaskan pihaknya akan memanfaatkan model Gemini dan keupayaan Google Cloud dalam persekitaran pekerjaan.
Katanya, BotUnify merupakan platform dalaman pihaknya sebagai agen AI.
“Kami memperkasa kakitangan kami membuat keputusan yang lebih baik di lapangan menggunakan data yang dibangunkan sendiri.
“Melalui GLConnect, pelanggan kini boleh menggunakan GenAI untuk menyesuaikan reka bentuk dalaman rumah mereka dengan mudah.
“Misi Gamuda ialah untuk melahirkan generasi pemimpin dan pencipta AI akan datang dengan menggabungkan teknologi GenAI dan Cloud yang kini sedang berkembang dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan.
“Oleh itu, pihak kami komited untuk menyediakan silibus berkualiti tinggi, teknologi terkemuka industri dan bimbingan yang tiada tandingan kepada warga Sabah,” katanya.
Untuk enam bulan pertama, kampus di Sabah akan ditempatkan di Perpustakaan Negeri Sabah. Kemudian akan dialihkan ke lokasi lain.
“Semua 30 pelatih ini akan hadir dalam kelas yang diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat, dari jam 9 pagi sehingga 5 petang. Kelas mereka hari ini dan berterusan selama tiga bulan.
“Ia terbuka kepada mereka yang berumur dari 21 tahun sehingga 40 tahun dari semua latar belakang,” katanya.